Oleh ANI AWANG

KEDUDUKAN bahasa Melayu sebagai bahasa pembentukan tamadun bangsa kini makin tercabar di negara ini kerana sikap sesetengah pihak yang memandang remeh terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan ilmu dalam pentadbiran negara.

Malah kedudukan bahasa itu mula mengalami perubahan ketara apabila pengajaran bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah menafikan kedudukan bahasa Melayu.

Menyedari bahasa Melayu merupakan jati diri dan maruah bangsa Melayu, satu Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (DBP) baru-baru ini bagi mempertahankan kedudukan bahasa itu.

Kongres yang bertemakan ‘Bahasa, Persuratan dan Kebudayaan Melayu/Kebangsaan: Pengalaman 50 Tahun Yang Lampau Dalam Memperkasai Setengah Abad Mendatang’ itu menjadi debat yang menarik dalam memantapkan penggunaan dan kedudukan bahasa Melayu agar tidak lenyap di telan zaman.

Seperti kata Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Datuk Dr. Hassan Ahmad: “Kita tidak mahu negara ini menjadi negara maju dalam tahun 2020 tetapi bangsa Melayu hilang martabat dan kuasa sebagai bangsa yang cemerlang dan maju disebabkan bahasanya tidak dijadikan alat utama dalam proses itu.

“Ini kerana penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pentadbiran kerajaan tidak dianggap sebagai agenda penting dalam perancangan bahasa Melayu di negara ini,’’ katanya ketika membentangkan kertas kerja Masalah Bahasa Atau Masalah Pengguna Bahasa? Membetulkan Sikap dan Persepsi Manusia Terhadap Bahasa Melayu, di DBP di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Hassan, pada fungsinya bahasa Melayu sudah maju sebagai bahasa pembentuk tamadun tinggi di rantau ini yang dapat merentas sempadan geografi dan etnik bahasa.

Namun beliau tidak mahu bahasa yang sudah maju itu dimusnahkan oleh persepsi, sikap dan kejahilan manusia terhadap keupayaan bahasa tersebut untuk mencapai kemajuan negara dalam zaman moden ini.

“Dasar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pada mata pelajaran Sains dan Matematik dalam sistem pendidikan negara pada 2003 boleh menggugat kedudukan bahasa Melayu.

“Penggunaan bahasa itu dibuat secara tidak sah tanpa melalui proses perundangan.

“Penyokong bahasa tidak menentang usaha kerajaan mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah tetapi bahayanya bahasa itu menjadi bahasa penjajah di negara ini.

“Banyak negara bukan berbahasa Inggeris mengajar bahasa Inggeris di sekolah tetapi para pemimpin mereka (Jepun, Peranchis dan Korea Selatan) tidak menyeru rakyat mereka menggunakan bahasa asing itu sebagai alat kemajuan bangsa dan negara mereka,’’ katanya.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Dr. Awang Sariyan menegaskan kekaburan sesetengah pemimpin terhadap peranan bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan amat menyedihkan.

Menurut beliau, penggunaan bahasa Inggeris dalam mesyuarat jabatan dan nama tempat tertentu telah menjadikan rapuhnya penggunaan bahasa Melayu dalam pembinaan negara.

“Secara jelas bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengucapan intelektual akan terhakis sehingga tidak mustahil bahasa Melayu hanya dikenali sebagai bahasa komunikasi sehari-hari,’’ katanya dalam kertas kerja Bahasa Melayu Setengah Abad Lalu dan Setengah Abad Mendatang: Upaya Pemerkasaannya.

Awang menambah, keadaan itu berlaku kerana kurangnya pengertian terhadap peranan bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sudah pun dinobatkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai bahasa kebangsaan, kata Awang, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik, jati diri bangsa dan bahasa perpaduan.

“Ramai yang kurang menyedari tentang kejayaan sistem pendidikan negara yang berbahasa penghantar bahasa Melayu ialah terbentuknya kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai pandangan sarwa di kalangan generasi muda,’’ tambahnya.

Penggiat teater Khalid Salleh yang turut menyertai seminar itu mahukan para pemimpin politik yang dilantik rakyat supaya sedar dan memperjuangkan bahasa Melayu demi kepentingan bangsa.

“Saya bimbang bahasa Melayu akan terjejas kerana sikap orang Melayu yang tidak memahami maruah dan jati diri,’’ katanya.

Sementara itu, kongres tersebut telah membuat ketetapan seperti berikut;

* Mendesak kerajaan melalui pelbagai jabatan dan agensinya supaya mendidik masyarakat sentiasa menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kesusasteraan.

* Menuntut status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dikembalikan keadaannya seperti sebelum 2002 termasuk proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

* Memastikan peningkatan peranan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa peradaban oleh institusi ilmu, pemerintah dan seluruh warganegara.

* Meminta kerajaan agar membina dasar buku berbahasa Melayu untuk melengkapi perpustakaan ilmu, industri buku dan penyebaran kesemua perpustakaan dalam negara.

* Menegaskan kembali keyakinan terhadap kewajaran prinsip-prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan kaedah pembinaan kebudayaan kebangsaan Malaysia demi kesatuan dan keutuhan bangsa.

* Peningkatan mutu sastera melalui pelbagai strategi termasuk penterjemahan karya agung dan dukungan yang kuat terhadap para karyawan dalam pelbagai aspek.

* Menuntut kerajaan sentiasa memberi pengiktirafan kepada para karyawan sastera kerana peranan dan sumbangan mereka terhadap karya dan pembinaan sastera kebangsaan yang bermutu.

* Mendesak kerajaan memberi pengiktirafan terhadap peranan besar dalam kalangan gerakan rakyat pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk memajukan bahasa, sastera dan kebudayaan kebangsaan pada tahap antarabangsa.

* DBP perlu memberi sokongan terhadap peranan dan fungsi Jawatankuasa Pemeriksaan Bahasa Melayu yang dibentuk oleh kerajaan.

* Menyambut baik bakal pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberi kuasa kepada DBP sebagai agensi penguat kuasa terhadap segala kelemahan penggunaan dan perlaksanaan fungsi bahasa di dalam negara.

* Menyokong usaha DBP sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasakan kreativiti para karyawan sastera, meluaskan khalayak sastera dan meningkatkan mutu hasil sastera pada tahap global.

Artikel Asal dari Utusan Online.

2 komen untuk kertas “Kongres Bahasa dan Persuratan memartabatkan kembali bahasa Melayu”

Berikan komen anda: