7.02 Bahasa Melayu Setengah Abad Lalu dan Setengah Abad mendatang : Upaya Pemerkasaannya.
Kertas ini telah dibentangkan oleh Admin di Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu Ke-VIIProfesor Dr. Awang Sariyan
Pembicaraan ehwal bahasa Melayu setengah abad yang silam dan setengah abad yang mendatang tidak dapat tidak berhubungan secara langsung dengan ehwal pembinaan negara kita sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu memang cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia (yang sebelum 1963 dikenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu). Dengan perkataan lain, pembicaraan tentang perkembangan bahasa Melayu selama setengah abad silam dan perancangannya untuk setengah abad mendatang tidak akan bererti dengan hanya membicarakan perkembangan wujudnya sebagai wasilah mekanis yang alamiah bagi keperluan komunikasi sekelompok umat. Sesungguhnya perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan langsung dengan roh bangsa, dengan asas jati diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita luhur bangsa dan negara. Sia-sialah pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa Melayu dengan cita-cita besar membina tamadun bangsa dan negara.
Kongres Bahasa