Ahmat Adam.

Perbincangan mengenai isu kebudayaan kebangsaan kini telah mencapai usia hampir setengah abad. Kali pertama isu kebudayaan kebangsaan dibahaskan ialah pada Kongres Kebudayaan Melayu pertama, yang diadakan di Melaka, pada 30 Disember 1957 hingga 2 Januari 1958. Dalam kongres itu telah dibuat beberapa rumusan yang pada dasarnya memutuskan bahawa teras kebudayaan kebangsaan di Persekutuan Tanah Melayu seharusnyalah kebudayaan Melayu. Ketika kongres diadakan pemuka dan peserta kongres adalah rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu; hal ini dapat difahami jika kita mengingat bahawa pada ketika itu semangat kebangsaan Melayu berada pada zaman pasangnya. Lagi pula, pada zaman itu, seingat saya, masyarakat bukan Melayu tidak berminat membicarakan isu-isu pembinaan nasion yang baru dilahirkan. Tanah Melayu waktu itu baru saja merdeka, dan beberapa bulan sebelum kongres diadakan para pemimpin pertubuhan-pertubuhan Melayu dari negeri Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Singapura telah pun bermuafakat untuk “menyiasat” soal kebudayaan Melayu dan “mencari teras kebudayaan Kebangsaan”. Tetapi seperti yang diungkapkan oleh Drs.Li Chuan Siu, “selepas kongres itu tidak pernah ada khabar ceritanya”.

Muat Turun:

Berikan komen anda: