Zalila Sharif.

Dalam usaha kita untuk memperkasakan sastera kebangsaan dan meluaskan khalayak sastera kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa kita perlu meneliti situasi semasa yang begitu banyak berubah yang turut menyebabkan perubahan dalam nilai, minat, sikap dan keperluan masyarakat terhadap sastera. Perubahan ini adalah disebabkan oleh perkembangan baru dunia seperti globalisasi, ekonomi, pemasaran, dunia pekerjaan, teknologi maklumat dan komunikasi, cita rasa, dasar kerajaan dan sebagainya.

Namun kita juga perlu melihat kekuatan yang sedia ada yang boleh kita perkukuhkan lagi untuk menjadi tunjang struktur sastera kebangsaan yang ingin kita perkasakan. Pada masa yang sama kita bagai tertanya-tanya di mana silapnya sehingga kita perlu martabatkan, perkasakan sastera kita di tanah air kita sendiri sedangkan kita mempunyai prasarana yang lengkap, badan penulis yang begitu aktif dan prihatin terhadap masa depan sastera kita. Malahan bengkel demi bengkel kita adakan bagi melahirkan penulis yang akan meneruskan tradisi persuratan.

Kita menyedari sudah banyak yang kita lakukan dan dinyatakan dengan jelas antaranya: Dewan Bahasa dan Pustaka pula dalam tempoh setengah abad ini telah memperlihatkan usaha yang berterusan dalam penerbitan karya besar, terutama hasil karya Sasterawan Negara, dan karya terjemahan karya sasterawan dunia.

Kegiatan sastera seperti Anugerah Sastera Negara, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, S.E.A. Write Award, Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur, Hari Sastera, Hari Puisi Nasional, Pertemuan Sasterawan Nusantara, Hadiah Sastera MASTERA, dan banyak lagi kegiatan DBP dilihat telah dapat menghidupkan suasana dinamik perkembangan sastera di Malaysia dan serantau.

Dalam hal ini DBP telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan sebagainya. Kegiatan seperti ini yang kadang-kadang dipandang sinis, namun mempunyai kesan yang positif dalam pengembangan sastera. DBP dengan kemampuan dana yang asa, dan prasarana di seluruh Malaysia melalui pejabat cawangan di Sabah dan Sarawak dan pejabat wilayah di Kota Bharu, Pulau Pinang dan Johor Bharu, dapat memainkan peranan penting dan berkesan dalam usaha mendinamikkan perkembangan sastera di Malaysia dan serantau. (Hamzah Hamdani, 2006: 23)

Muat Turun:

Berikan komen anda: