7.09 Permasalahan Bahasa dan Persuratan Melayu Antarabangsa.
Kertas ini telah dibentangkan oleh Admin di Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu Ke-VIIDato’ Haji A. Aziz Deraman.
Abad ke abad peradaban manusia berubah. Peradaban Melayu ternyata memiliki keunikan dan kekuatan tersendiri zaman-berzaman. Senario perubahan peradaban abad ke-21 dengan adanya kemajuan Asia Pasifik, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi rantau dan dinamisme baru rumpun Melayu sepatutnya membangkitkan kesedaran dan keazaman politik ke arah memajukan bahasa dan persuratan Melayu di persada antarabangsa sesuai dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Malaysia patut mendepaninya.
Perkembangan dan kemajuan bahasa Melayu sehingga mencapai taraf salah satu bahasa moden seharusnya tidak menimbulkan rasa pesimistis bagi bahasa Melayu diperkasakan sebagai salah satu bahasa utama dunia. Kekuatan jumlah 300 juta umat Melayu-Polinesia, kejayaannya menjadi bahasa ilmu, bahasa sistem pendidikan nasional, bahasa komunikasi, wujudnya kerjasama serantau, dan pengembangan yang utuh telah menjadikan bahasa Melayu diminati di Barat dan Timur.
Permasalahan bahasa dan persuratan Melayu antarabangsa akan banyak dipengaruhi oleh cabaran dalaman dan sikap bangsa asal penuturnya, adanya keserongan persepsi, kesan promosi ‘dualisme’ dan ‘parallelisme’ antara bahasa rasmi dengan bukan rasmi, keraguan tentang keupayaan BM dalam teknologi maklumat, perubahan dasar bahasa yang tidak menentu, tidak majunya usaha penerbitan dan penterjemahan dan dilema tanggapan baru apabila bahasa negara tidak ditegaskan dan diberi jagaan.
Bahasa dan persuratan Melayu sekian lama mendapat tempat dalam program pembelajaran, penyelidikan dan pengajian di Eropah, Amerika, Asia dan Oceania tetapi kelihatan kian tiada kesungguhan dukungan, kerjasama dan sokongan. Kesepakatan serantau, kesedaran dan tanggungjawab perlu diberi pemikiran semula dalam konteks “renaissance” kesusasteraan Melayu. Jaringan kesepakatan dalam pengayaan persuratan, penciptaan sastera, penulisan, penterjemahan, pengiktirafan kesarjanaan, pengisian persefahaman, pengukuhan institusi, peranan prasarana dan organisasi seperti MABM, MABBIM, MASTERA, FOKEPS, kerjasama sewilayah, kerjasama antara institusi dan sokongan kepada pertubuhan sukarela (NGO) hendaklah diperkuatkan.
Cabaran-cabaran baru menuntut konsistensi usaha, keseriusan pakatan, membesarkan kepustakaan ilmu, menggalakkan pertukaran kebudayaan dan segala prasarana dan forum yang ada tidak diabaikan. Dalam persuratan usaha membina khalayak, penyebarluasan karya, kedudukan sastera dalam pendidikan dan pengembangan program antarabangsa adalah antara pengisian yang perlu diperhatikan. Kejayaan pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu dalam abad ke-21 bergantung pada sejauh mana kesepaduan permuafakatan dan kesedaran umat Melayu besar itu sendiri.
Kongres Bahasa