Tentang Kami
Bismillahir rahmanir rahim.
Setelah enam kali Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu bersidang, dalam masa lima puluh tahun, ada banyak isu seputar bahasa dan kebudayaan Melayu yang dikemukakan, dibincangkan dan dijadikan resolusi. Ada resolusi yang berhasil dilaksanakan, ada yang tidak.
Laman ini adalah himpunan kertas kerja dan prosiding enam persidangan tersebut.
Banyak yang dapat diperkatakan. Namum kita terpaksa memilih hanya isu-isu penting saja bagi menunjukkan arah perjuangan kita. Kita tidak boleh terbabas kerana ada isu-isu sampingan atau peristiwa-peristiwa lain yang mengelirukan. Dengan demikian kita dapat melihat isu yang sudah berjaya kita tangani, dan apa yang masih perlu kita perjuangkan.
Memandang ke hadapan.
Apabila kita memandang isu bahasa Melayu, malah seluruh kepentingan budaya dan politik Melayu, ada beberapa isu yang perlu kita perlu beri fokus.
Pertama ciri-ciri intrinsik sebuah bahasa yang bermartabat tinggi adalah hakikat bahawa di dalamnya ada ilmu. Bahasa Melayu selama lima puluh tahun ini dapat membawa masuk ilmu dengan berhasil. Proses ini tidak boleh berhenti. Proses membina kepustakaan bahasa Melayu adalah mutlak dalam memertabatkan bahasa Melayu.
Proses ini perlu diberi perhatian oleh Kerajaan dan pihak yang berwajib. Ternyata lebih banyak ilmu dalam sesuatu bahasa, maka lebih banyaklah ilmu yang dapat dimanfaatkan oleh rakyatnya. Proses pembinaan kepustakaan Melayu mesti diteruskan.
Kedua, daripada pengalaman sejarah, penggunaan bahasa asing gagal menyampaikan pendidkan kepada seluruh rakyat. Oleh sebab itu kita dapat menduga dasar mengajar sains dan matematik melalui bahasa pengantar bahasa Inggeris akan menggagalkan ramai pelajar luar bandar dan kelas rendah yang tidak rapat berdampingan dengan bahasa Inggeris.
Untuk itu kita tidak perlu kajian besar-besar bagi mempastikannya. Keputusan peperiksaan sekolah dapat memberikan jawapannya. Memang keputusan peperiksaan yang didasarkan kepada norma dapat saja diubah suai menurut selera pemimpin. Norma markah lulus dan cemerlang dapat saja diubah menurut prestasi semasa.
Tetapi akan tiba masanya keputusan yang buruk itu tetap buruk. Pelajar luar bandar dan pelajar miskin yang mengalami defisit bahasa akan juga mengakibatkan defisit ilmu, seterusnya gagal. Diharap pemimpinan tidak menunggu saat itu untuk kembali ke pangkal jalan.
Ketiga, dalam masa lima puluh tahun sejarah kongres ini, kita sering menyatakan bahawa bahasa Indonesia adalah sesuatu yang dapat kita harapkan memberi sokongan dan bantuan. Unsur yang akan merapatkan jurang ini bukan sekadar sistem ejaan, atau sebutan atau tatabahasa yang sama.
Benar persamaan itu dapat banyak membantu. Tetapi yang lebih pokok ialah perlunya kita sama-sama menguasai bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu tinggi ini adalah bahasa yang dapat merapatkan jurang budaya antara kedua-dua bangsa. Dari segi ilmu dan budaya, kita dapat saling memanfaati.
Dalam perkembangannya neka bahasa tinggi semakin mantap di kalangan penutur bahasa Indonesia, tetapi penutur bahasa Melayu menunjukkan perkembangan sebaliknya. Perlulah perhatian difokuskan kepada penggunaan bahasa Melayu tinggi. Hanya bahasa Melayu tinggi yang dapat menjadi wahana budaya tinggi.
Keempat, ada banyak kempen memertabatkan bahasa Melayu yang difikirkan dan ada yang dijalankan. Umpamanya kita boleh saja meningkatkan budi bahasa orang, dan kita juga boleh mendenda sesiapa yang mencemarkan bahasa kita, namun mertabat bahasa Melayu akan terus berada pada takuk lama juga. Sebabnya, perkara-perkara itu bukanlah ciri-ciri martabat sesebuah bahasa.
Aktiviti demikian samalah dengan kisah Don Quixote yang bersilat dengan kincir angin. Martabat sebenar sesebuah bahasa ialah fungsinya sebagai bahasa pengantar ilmu dan sebagai bahasa yang menjadi alat pentadbiran negara. Oleh itu janganlah kita mudah terpedaya, dan merasa selamat bahawa bahasa Melayu dapat dimertabatkan dengan usaha demikian.
Penyusun,
Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan,
Jabatan Bahasa Melayu,
Fakulti Bahasa,
Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjung Malim, Perak.
10 Oktober 2006
Kongres Bahasa