Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-IV berlangsung dari 7 - 10 Disember 1984 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Kongres ini adalah usaha kedua untuk menilai prestasi pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan secara menyeluruh, selepas usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa menilai Pelaksanaan Bahasa Malaysia yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1981.
Kongres ini ditaja secara bersama oleh empat belas buah kerabat kongres, iaitu GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka, ABIM, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, dan GPMS, dll.. Kongres yang berlangsung selama empat hari ini tidak saja disertai oleh wakil badan-badan penaja tetapi dihadiri juga oleh wakil-wakil pelbagai pertubuhan dan orang perseorangan yang terdiri daripada para ahli dalam pelbagai bidang keilmuan. Perwakilan dari negara-negara serantau seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand serta beberapa orang perseorangan dari negara asing turut hadir.
Sebanyak tiga belas buah kertas kerja telah dibincangkan di bawah kumpulan: Hasrat dan Cita-cita, Dasar dan Pelaksanaan, Agensi, Hakikat yang Wujud di Pelbagai Sektor, dan Masa Depan.
Isu-isu yang menjadi tumpuan Kongres adalah seperti berikut:
1. Amalan bahasa yang tidak baik menyebabkan timbulnya keperluan menghasilkan tatabahasa dan bahan-bahan bahasa baku yang baik dan betul, supaya masyarakat tidak menghadapi kekeliruan bahasa.
2. Kekurangan kamus istilah.
3. Keperluan meningkatkan imej bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk semua bidang. Penulis ilmiah perlu memperbanyak penulisan dalam bahasa Melayu.
4. Penterjemahan ilmu ke dalam bahasa Melayu perlu digiatkan, dan penubuhan Biro Terjemahan difikirkan penting.
5. Pindaan dan peruntukan tambahan hendaklah dibuat dalam undang-undang, akta dan peraturan supaya tidak menjejaskan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
6. Dalam perkembangan bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka perlu mengkaji matlamatnya kembali, iaitu dengan menambah fungsinya supaya juga menjadi organisasi yang turut mendorong kegiatan-kegiatan intelektual dan kebangkitan semula kebudayaan dalam bahasa Melayu.
7. Usaha penyebaran karya sastera antara negara berbahasa Melayu mestilah dipergiatkan dengan semangat yang ikhlas dengan memecahkan halangan-halangan yang bersifat ekonomi, politik dan sebagainya.
8. Sistem dan strategi pengedaran bahan-bahan bercetak hendaklah disusun supaya bahan bacaan berbahasa Melayu dapat disebarkan seluas-luasnya.
9. Supaya bahasa Melayu dapat memenuhi fungsi intelektual, kesenian, kebudayaan dan ilmu pengetahuan, dengan kerjasama erat di antara cendekiawan, ahli bahasa, sasterawan, seniman dan budayawan negara-negara berbahasa Melayu.
Kongres Bahasa